top of page

Piala Sudirman: Malaysia berjaya melepasi halangan pertama, mengalahkan England

Wartawan Nabalu News

27 Sept 2021 Oleh Wartawan Nabalu News FINLAND: Pasukan badminton Malaysia berjaya melepasi halangan pertama dalam kejohanan badminton Piala Sudirman dengan mengalahkan England 3-2, dalam aksi pembukaan petang tadi. Skuad muda negara tersebut mengutip mata pertama menerusi beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang mempamerkan aksi meyakinkan apabila menang 21-19, 21-18 ke atas gandingan No. 7 dunia. Marcus Ellis-Lauren Smith. Juara All England 2021, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila menang mudah ke atas Johnnie Torjussen dengan pungutan mata 21-4, 21-15. Kemenangan Malaysia disahkan apabila pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berhempas pulas untuk menumpaskan pasukan lawan dengan 22-20, 21-18 untuk mata ketiga negara.

Bagaimanapun, dalam saingan wanita pasukan negara gagal memungut sebarang mata selepas perseorangan wanita negara S. Kisona tewas 16-21, 20-22 kepada Abigail Holden. Manakala pasukan beregu perempuan negara, Perly-Thinaah tumpas 18-21, 21-17, 10-21 di tangan Chloe Birch-Lauren Smith. Malaysia akan meneruskan kempen dengan menentang Mesir, pasukan yang dianggap paling lemah dalam Kumpulan D, dan kemenangan akan mengesahkan tiket suku akhir. Hanya pasukan yang menduduki tempat pertama dan kedua dalam kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir. Kejohanan Piala Sudirman edisi ke-17 ini bermula 26 September hingga 3 Oktober di Vantaa, Finland. Sebanyak 16 negara akan bertanding dalam aksi kumpulan dengan tumpuan diberikan kepada China iaitu juara bertahan, Indonesia dan Jepun. Malaysia akan berdepan dengan tugas getir apabila bertemu Jepun dalam perlawanan terakhir kumpulan, Khamis ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page