Piala Thomas: Malaysia vs Indonesia dalam aksi suku akhir malam iniPiala Thomas: Malaysia vs Indonesia dalam aksi suku akhir malam ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Piala Thomas: Malaysia vs Indonesia dalam aksi suku akhir malam ini


Aaron Chia-Soh Wooi Yik

15 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


DENMARK: Malaysia akan menentang Indonesia dalam aksi suku akhir Kejohanan Piala Thomas pada pukul 7.30 malam, hari ini (waktu Malaysia) selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua.


Dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D semalam, Malaysia tewas kepada Jepun 1-4 seterusnya menyaksikan Jepun menjadi juara kumpulan.


Tonggak utama perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa akur apabila tewas kepada pemain perseorangan nombor satu dunia, Kento Momota 21-15, 12-21, 21-23 dalam perlawanan yang cukup sengit.


Harapan untuk pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk kembali bangkit memungut mata buat Malaysia juga tidak kesampaian selepas tewas 13-21, 13-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.


Jepun kemudiannya menambah mata seterusnya menerusi perseorangan lelaki kedua mereka, Kanta Tsuneyama yang menewaskan wakil negara, Cheam June Wei 22-20, 21-13.


Seterusnya pada aksi beregu lelaki yang kedua, gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut gagal untuk melakar kemenangan selepas tewas kepada Akira Koga-Yuta Watanabe 10-21, 16-21.


Mata tunggal negara hadir pada aksi terakhir menerusi perseorangan ketiga negara, Leong Jun Hao yang berjaya mencipat kejutan untuk menewaskan pemain ranking ke-16 dunia, Kenta Nishimoto 21-19, 21-18.


Bagi perlawanan suku akhir yang lain, Korea Selatan akan menentang Jepun, Thailand akan bertemu China dan Demark akan bertemu India.


Skuad badminton negara berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir dalam kejohanan ini.

bottom of page