Piala Uber: Malaysia tewas 4-1 kepada DenmarkPiala Uber: Malaysia tewas 4-1 kepada Denmark
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Piala Uber: Malaysia tewas 4-1 kepada Denmark



10 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


DENMARK: Skuad badminton wanita negara terpaksa akur selepas tewas kepada Denmark 4-1 pada aksi pembukaan kumpulan D dalam Kejohanan Badminton Piala Uber di Ceres Arena, Aarhus malam tadi.


Pemain utama perseorangan wanita negara, S. Kisona gagal menewaskan pemain tuan rumah, Mia Blichfedlt (ranking ke-12 dunia) selepas dikalahkan 11-21, 7-21 dalam perlawanan yang mengambil masa selama 31 minit.


Denmark kemudiannya menambah mata kedua selepas menewaskan beregu eksperimen wanita negara yang dibarisi Lee Meng Yean-M. Thinaah dengan mata 21-19, 10-21, 21-13.


Meskipun gandingan Lee Meng Yean-M. Thinaah berjaya bangkit pada set kedua namun rentak kemenangan tersebut gagal dipertahankan pada set ketiga, menyebabkan gandingan Denmark Maiken Fruergaard-Sarah Thygesen mengambil mata kemenengan buat Denmark.


Bagaimanapun, pemain perseorangan kedua wanita negara, Eoon Qi Xuan melakar kejutan apabila berjaya menewaskan pesaingnya Line Christhophersen 18-21, 21-18, 21-15.


Qi Xuan yang menduduki ranking ke-123 dunia tersebut berjaya menundukkan lawannya dalam masa sejam dan dua minit sekaligus memberikan mata tunggal buat negara.


Harapan Malaysia untuk bangkit pada perlawanan seterusnya tidak kesampaian selepas pasangan beregu kedua negara Mei Xing-Yap Ling, tewas 'straight set' kepada Amelie Magelund-Freja Ravn 21-13, 21-19 dalam masa hanya 41 minit.


Pada perlawanan terakhir, perseorangan wanita negara K Letshanaa, 18, juga terpaksa akur apabila tewas kepada pemain rangking ke-35 dunia Line Kjaersfeldt 21-18, 21-14.


Malaysia akan berdepan China pada perlawanan seterusnya iaitu hari ini pada pukul 7.30 malam (waktu Malaysia), dan kemudiannya bertemu Kanada untuk perlawanan terakhir bagi aksi kumpula D pada 11 Oktober (Isnin) pada pukul 1 pagi (selasa, waktu Malaysia).

bottom of page