Pindaan Anti Lompat Parti perlu dikuatkuasakan sebelum PRU15
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pindaan Anti Lompat Parti perlu dikuatkuasakan sebelum PRU15



21 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pindaan Anti Lompat Parti perlu dikuatkuaskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membolehkan para pengundi tenang bahawa pilihan mereka tidak akan dibatalkan oleh “katak politik” selepas pilihan raya.


Sehubungan itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) supaya melaksanakan Pindaan Perlembagaan Antilompat Parti tanpa berlengah-lengah lagi.


“Pindaan perlembagaan yang amat diperlukan ini telah diwartakan pada 6 September lalu. Pada mulanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi telah mengisytiharkan bahawa ia akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pertengahan September, dalam sidang media di Parlimen pada 9 Ogos lalu.


“BERSIH ingin tahu mengapa penguatkuasaan Pindaan ini, yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen, ditangguhkan.


“Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin hampir, jadi adalah mustahak pindaan ini dikuatkuasakan supaya pengundi boleh mengundi dengan tenang bahawa pilihan mereka tidak akan dibatalkan oleh katak politik selepas pilihan raya,” kata kenyataan media itu, hari ini.


Baru-baru ini dilaporkan bahawa undang-undang itu hanya akan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta Persekutuan.


Di bawah pindaan ini, sekiranya mana-mana ahli parlimen bertukar parti, kerusi parlimen mereka akan dikosongkan secara automatik dan pilihan raya kecil akan diadakan melainkan kurang daripada dua tahun sebelum penggal Parlimen berakhir, maka tiada pilihan raya kecil akan dipanggil untuk mengisi kekosongan itu.


“Sekiranya pertimbangan Kerajaan adalah penerimaan undang-undang ini diperingkat negeri, di mana memerlukan kebenaran Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing, maka seluruh pindaan kecuali bahagian yang melibatkan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan boleh dikuatkuasakan dahulu.


“Hal ini dibenarkan di bawah Seksyen 1(2) dan (3) pindaan ini. Tidak ada alasan untuk menangguhkan lagi penguatkuasaan ini yang telah mendapat konsensus nasional yang telah ditunjukkan semasa pengundian parlimen di peringkat persekutuan,” kata kenyataan itu.


Menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH, pindaan itu akan menggalakkan lebih ramai rakyat keluar mengundi.


"Ini penting dalam demokrasi bagi mana-mana kerajaan yang dipilih untuk mempunyai mandat yang kuat dan sah untuk mentadbir selama lima tahun," kata kenyataan itu.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page