Pindaan perlembagaan kembalikan status Sabah, Sarawak sebagai rakan setara tidak jelasPindaan perlembagaan kembalikan status Sabah, Sarawak sebagai rakan setara tidak jelas
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pindaan perlembagaan kembalikan status Sabah, Sarawak sebagai rakan setara tidak jelas


28 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan yang dicadangkan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menyatakan jelas sama ada status rakan setara bagi Wilayah Sabah, Sarawak dan Malaya (Semenanjung) dikembalikan seperti versi Perjanjian MA63 yang asal.


Ini kerana Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (Majlis Khas MA63) telah memperakukan hanya beberapa perkara penting untuk dilaksanakan.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib berkata, ini termasuk isu penyerahan Kuasa Kawal Selia Pengedaran Gas (LPG) kepada kerajaan negeri Sarawak pada 1 Jun 2021 dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 9 September 2021.


“Majlis Khas MA63 juga bersetuju supaya Perintah Kawasan Larangan dan Tempat Larangan bagi Pulau Sipadan dan Ligitan dibatalkan namun tanggungjawab berhubung keselamatan masih di bawah kerajaan persekutuan.


“Cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 pula telah diperakukan oleh Majlis Khas MA63 pada 18 Oktober 2021 dan telah dibawa kepada Jemaah Menteri pada 21 Oktober 2021.


“Bacaan kali pertama dan bacaan kali kedua RUU adalah pada sidang mesyuarat Parlimen kali ini,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau yang bertanya apa tindakan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepenuhnya setelah MoU antara kerajaan dengan Pakatan Harapan dan Ahli-Ahli Parlimen dilaksanakan berkaitan MA63.


Hanifah Hajar berkata, Majlis Khas turut memperakukan Empowerment Pelesenan Laut Dalam Sabah.


“Pelaksanaan empowerment Pelesenan Perikanan Laut Dalam Sabah dijangka akan mula dilaksanakan pada Disember 2021.


“Majlis Khas juga bersetuju supaya kuasa yang sama dipanjangkan kepada Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak,” katanya.


Selain itu katanya, terdapat juga isu-isu lain yang sedang dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di bawah Majlis Khas MA63.


Ini termasuk, semakan semula berhubung isu-isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak di bawah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu.


Perkara berkaitan keselamatan negeri seperti isu sempadan negeri Sarawak, isu imigresen seperti IMM13, Burung-Burung, Kad Banci dan PATI di negeri Sabah di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak.


“Keperluan infrastruktur asas di negeri Sabah dan Sarawak seperti jalan raya, air/ elektrik, kesihatan, pendidikan, digital, kemiskinan dan perumahan rakyat di bawah Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi dan Semakan Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga berharap supaya perkara ini dapat dimuktamadkan dengan kadar segera.

Tags:

bottom of page