top of page
  • nabalunews

Pingat gangsa perseorangan lelaki Olimpik milik Zii Jia

5 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.


Pemain nombor tujuh dunia itu bangkit daripada tewas set pertama 13-21 sebelum meraih kemenangan 21-16, 21-11 untuk pingat kedua negara di Paris setakat ini.


Ini menyaksikan Zii Jia memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.


Pada aksi terbabit, Lee Zii Jia membuka set pertama dengan aksi kurang memberangsangkan apabila membenarkan Lakshya mendahului 10-4 dengan dia ketinggalan enam mata pada interval set pertama selepas Lakshya mendahului 11-5.


Selepas interval set pertama, Zii Jia terus ketinggalan 11-17 dan meskipun berjaya menambah dua mata untuk menjadikan kedudukan 13-19, Lakshya menamatkan set pertama dengan 21-13 dalam tempoh 20 minit.


Memasuki set kedua, Zii Jia bangkit sekalipun ketinggalan jauh apabila mengikat Lakshya 8-8 dan Zii Jia menuju ke interval set kedua dengan mendahului 11-8 sebelum Lakshya berjaya mengikat kedudukan 12-12.


Zii Jia memastikan dia terus memimpin perlawanan walaupun dikejar Lakshya dengan pertukaran satu atau dua mata dan Zii Jia mengheret perlawanan ke set penentuan apabila memenangi set kedua dengan 21-16.


Set ketiga menyaksikan Zii Jia beraksi dengan garang apabila pada satu ketika mendahului 9-2 dan selepas mendahului 11-6 di interval, dia tidak menoleh ke belakang untuk menoktahkan perjuangan Lakshya dengan keputusan 21-11.


Terdahulu, pingat pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024, disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa, semalam.


Sementara itu, pemain Denmark, Viktor Axelsen mempertahankan pingat emas Olimpiknya apabila menumbangkan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada final acara badminton perseorangan lelaki di Paris.


Mendapat sokongan padu penonton di La Chapelle Arena, Axelsen yang juga pilihan kedua menumbangkan pilihan kelapan itu 21-11, 21-11 dalam tempoh 52 minit.


Pemain tinggi lampai itu muncul pemain pertama mempertahankan pingat emas Olimpik acara perseorangan lelaki sejak legenda China, Lin Dan melakukannya pada edisi 2008 dan 2012.

Comments


bottom of page