PKP dan sekatan jalan raya tidak akan dilaksanakan semasa musim perayaan - PM
top of page
  • nabalunews

PKP dan sekatan jalan raya tidak akan dilaksanakan semasa musim perayaan - PM


23 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


BERA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan balik kampung sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak akan dilaksanakan kembali kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata PKP dan sekatan secara besar-besaran tidak akan diadakan kerana sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan merentas negeri sudah pun dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa dan sekiranya terdapat peningkatan kes di sesuatu kawasan, hanya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di kawasan terbabit.


"Sudah ada orang yang buat spekulasi macam-macam, termasuk kononnya tak boleh balik raya kerana kes meningkat semula sejak beberapa hari lepas, namun jangan bimbang, kita tidak akan tutup lagi seluruh negara, atau negeri atau daerah kerana jaminan sudah diberikan.


"Pergerakan rakyat juga seperti biasa, tetapi kita akan memfokus kepada kawasan sasaran yang banyak berlaku penularan kerana kita ada PKPD.


"Jika kampung itu yang dikenakan PKPD, maka mereka dari kampung itu sahaja yang tidak boleh pulang," katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bera di Pejabat Kemas Bera di sini, hari ini.


Mengulas lanjut berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan, Ismail berkata cadangan prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan turut dihadiri wakil parti-parti pembangkang.


Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengemukakan cadangan SOP itu secara terperinci bagi mengelakkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 akibat PRN itu.


"Kita tidak boleh selesa dan perlu terus membendung (penularan Covid-19) walaupun kita mengatakan perlu hidup dengan Covid-19 pada masa depan. Kita mengharapkan supaya kes terus menurun sehingga bawah 1,000 supaya kita boleh mengumumkan Malaysia sebagai endemik, bukan lagi pandemik.


"Kita serahkan kepada KKM untuk menentukan SOP secara terperinci dan saya boleh memanggil mesyuarat sidang khas MKN untuk membincangkannya," kata Ismail Sabri.




Tags:

bottom of page