top of page
  • Wartawan Nabalu News

Platform digital TOURLIST lancar, permudah urusan lesen pelancongan


20 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Industri pelancongan kini boleh menikmati kemudahan permohonan lesen dalam talian secara menyeluruh melalui platform digital Tourism Licensing And Enforcement System (TOURLIST) yang dilancarkan secara rasmi pada Selasa.


Platform ini, yang merupakan projek di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menggantikan Sistem Pelesenan Industri Pelancongan (SPIP) yang mula beroperasi pada 9 Nov lepas.


Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata TOURLIST menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti automasi permohonan pendaftaran dan penggredan hotel dan spa, kelulusan automatik permohonan pengecualian pemandu pelancong, pengeluaran lesen secara janaan komputer, pemantauan aduan yang efisien, serta pembayaran secara dalam talian.


"Capaian Sistem TOURLIST ini boleh diakses di mana-mana, baik di laman web atau aplikasi mudah alih, yang disuaipadankan dengan perkembangan teknologi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran TOURLIST di sini.


Beliau berkata pengurusan data industri pelancongan dalam sistem TOURLIST juga dilengkapkan dengan ciri-ciri kepintaran perniagaan melalui perisian RapidMiner.


"TOURLIST juga telah merekodkan hasil yang sangat memberansangkan iaitu sebanyak RM2.1 juta dengan jumlah transaksi sebanyak 18,082 kali setakat suku tahun kedua 2023. Rekod ini menunjukkan trend hasil meningkat berbanding pada 2022 dan 2021. Dijangkakan kutipan hasil bagi tahun ini akan terus meningkat mengatasi kutipan hasil dari tahun sebelum ini," katanya.


Khairul berkata sejak TOURLIST mula go-live atau beroperasi dalam talian, sebanyak 6,256 aduan diterima dan daripada jumlah itu, 98.8 peratus berjaya diselesaikan dengan aduan yang masih aktif hanya berbaki 74 aduan atau 1.2 peratus sahaja.


"Kebanyakan aduan lebih kepada masalah kualiti data memandangkan data ini dimigrasi daripada sistem lama. Aduan-aduan ini boleh dikatakan pada paras boleh ditangani dan dijangka dapat dikurangkan lagi dengan kerjasama semua pihak," katanya.


Beliau berkata TOURLIST juga berfungsi sebagai platform digital pengurusan aktiviti penguatkuasaan industri pelancongan yang berintegrasi dengan agensi lain seperti Biro Pengaduan Awam; Jabatan Pengangkutan Jalan; Polis Diraja Malaysia; Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia; Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi penguatkuasaan berkaitan.


Jelas beliau, sepanjang 2022 sebanyak 393 penguatkuasaan dengan 71 notis pemeriksaan dikeluarkan kepada pengusaha pelancongan seluruh Malaysia manakala dalam tiga bulan pertama 2023, 113 penguatkuasaan dicatatkan dengan 69 notis pemeriksaan.

Comments


bottom of page