PM Anwar beri jaminan harga beras tempatan tidak meningkat

20 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengambil mudah isu harga barangan dan telah mengambil langkah-langkah untuk menjamin harga beras tempatan di paras yang rendah.
Beliau berkata kerajaan tidak akan mengambil mudah isu harga barangan dan telah mengarahkan menteri-menteri yang berkaitan untuk memantau keadaan di pasaran.
"Kita beri jaminan harga beras tempatan tidak naik tapi ada laporan tentang kekurangan di beberapa tempat dan mesti ditangani dengan baik, cuma saya harap Ahli Yang Berhormat faham (contohnya) kenaikan harga bawang, fahamkanlah bahawa sejak Ogos lalu duti eksport bawang dari India naik 40 peratus," katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari pada Selasa.
"Kita kena faham ini, dan India buat keputusan naikkan duit eksport bawang 40 peratus dan tentunya bagi kita dari Malaysia yang membeli bawang dari India akan terkesan dari harga itu begitu juga keputusan India bulan lalu untuk hadkan (eksport) beras putih."
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan ini akan menjejaskan bekalan dan permintaan barangan dan menyebabkan kenaikan harga.
Oleh itu, kerajaan telah memberikan tambahan subsidi untuk menjamin harga beras tempatan di paras yang rendah.
"... jadi ikut teori bekalan dan permintaan bila eksport dihadkan harga naik maka kita tambah subsidi untuk menjamin beras tempatan tidak naik harga," katanya.
Sementara itu, mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Anwar mengulangi pendirian Kerajaan Perpaduan yang terbuka dan bersedia untuk berunding mengenainya seperti yang dilakukan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Beliau berkata beliau telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai wakil daripada pihak kerajaan untuk mengetuai perbincangan mengenai perkara itu.
"Keputusan muktamad daripada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, seperti mana yang diluluskan Bera (Ismail Sabri) semasa dia menjadi Perdana Menteri, peraturan yang lebih kurang kita guna. Hendak peruntukan, bincang...runding, jangan sombong dan angkuh," katanya.
Comentários