top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM Anwar gesa segerakan projek naik taraf lapangan terbang dan pelabuhan 



24 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar projek penyelenggaraan dan penambahbaikan lapangan terbang dan pelabuhan di seluruh negara disegerakan bagi menerima pelancong dari luar negara.

 

Beliau berkata, kemudahan tersebut perlu efisen bagi mengelakkan kesesakan terutama di lapangan terbang di Tawau, Sabah dan Pulau Pinang yang mempunyai potensi besar untuk menarik pelancong asing.

 

Anwar juga menekankan bahawa projek naik taraf aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu disiapkan dengan cepat.

 

“Bukan sahaja (lapangan terbang) di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Alor Setar (Kedah) dan Kota Bharu (Kelantan) sampai ke Tawau (Sabah).

 

“Seperti mana kita tahu lapangan terbang di Tawau itu kecil. Tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Kita kena tarik pelancong dari luar.

 

"Tak boleh nak siapkan atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun, tak boleh. Oleh sebab itu, saya minta semua kawasan ini disegerakan dan usaha (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke segerakan hal sedemikian," katanya dalam ucapan perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Sabtu.

 

Beliau berkata, Ketua Pengarah kementerian yang terbabit perlu merujuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi menyegerakan arahan berkenaan projek-projek tersebut.

 

Beliau turut mengingatkan bahawa proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dan mengelak daripada amalan lama yang boleh menyebabkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

 

Selain itu, beliau berkata sinergi antara kementerian dan agensi perlu diperhebat bagi memastikan industri pelancongan negara kekal berdaya saing dan lebih berkembang.

 

Beliau menamakan inisiatif Kerajaan MADANI sebagai usaha untuk membina Malaysia yang lebih adil, demokratik, inklusif, dan progresif.

 

HKK 2024 bermula pada 21 Februari sehingga 4 Mac dari pukul 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

 

HKK diadakan bertujuan bagi memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf kepada pembangunan industri kraf negara.

Comments


bottom of page