PM Anwar: Malaysia dan Australia contoh yang baik dalam menghargai perbezaan agama, budaya

4 Mac 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
MELBOURNE: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji Australia sebagai negara yang menghormati komuniti minoriti Islam dalam kalangan masyarakatnya.
Beliau berkata, Malaysia juga mengamalkan toleransi dan hormat-menghormati antara kaum dan agama sebagai sebuah komuniti.
"Kita selaku kerajaan amat menggesa agar masyarakat menghormati dan bertolak ansur. Di Malaysia, kerana Islam adalah agama persekutuan, bermakna kita perlu mempertingkatkan dan mengukuhkan teras syariah untuk orang Islam," katanya.
"Tetapi, pada masa sama, kami tetap memelihara dan memastikan kebajikan orang bukan Islam sama-sama dilindungi, kerana mereka adalah warganegara yang sama di bawah undang-undang,” beliau berkata demikian semasa merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa, sebuah sekolah pengajian Islam di sini pada Isnin.
Tambah Anwar, Australia menunjukkan contoh yang baik dalam menghargai perbezaan agama dan budaya.
"Begitu juga di Australia. Walaupun agama majoriti adalah Kristian, tetapi mereka menunjukkan toleransi dan menghargai perbezaan. Saya pernah ke Canberra, Sydney, Perth dan beberapa tempat di mana mereka juga mempunyai komuniti Islam, dan institusi lain di sini, terutamanya seperti Al-Taqwa, diberi sokongan mencukupi," katanya.
Anwar turut menggesa masyarakat minoriti di Malaysia untuk memainkan peranan dan berasimilasi sebagai sebahagian masyarakat berbilang kaum.
"Ini adalah naratif baru yang perlu kita promosikan dalam semua komuniti. Kita perlu berkompromi dengan hakikat bahawa kita perlu mempertingkatkan semula iman dan nilai moral kita. Kita perlu berpegang teguh kepada kepercayaan dan ini penting untuk mempromosikan keamanan, keselamatan dan keadilan," ujarnya.
Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor dan Presiden Monash University, Sharon Pickering, untuk memperkasakan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Australia.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 18,000 pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Australia, dengan kumpulan terbesar berada di Victoria iaitu sekitar 9,000 pelajar.
Anwar berada di Australia untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.
Beliau akan mengakhiri lawatannya dengan menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU) dan bertemu Gabenor Jeneral Australia, David Hurley.
Comments