PM Anwar: Malaysia perlu contohi dan jadikan Korea Selatan sebagai inspirasi
nabalunews

26 November 2024
SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk menjadikan Korea Selatan sebagai inspirasi, sebuah negara yang pernah mundur tetapi kini muncul sebagai kuasa ekonomi global.
Beliau mengingatkan bahawa Korea Selatan, yang pernah melalui perang saudara, tidak pernah berputus asa dan terus berusaha untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.
"Rombongan dari Korea datang belajar tentang pembangunan dari Malaysia, ini kenyataannya.
"Sebab itu, Presiden Korea tadi agak besar hati menyatakan tidak akan lupa jasa Malaysia di peringkat awal membantu mereka dalam keadaan parah, mundur selepas perang saudara sekian lama," kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora Malaysia di Korea Selatan, yang dihadiri kira-kira 300 rakyat Malaysia, di sebuah hotel di sini pada Isnin, lapor Berita RTM.
Anwar turut menekankan budaya belajar dalam kalangan rakyat Korea Selatan, terutama dalam bidang sains, teknologi, dan pembangunan pendidikan, yang patut dicontohi oleh rakyat Malaysia.
Tambah beliau, untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia perlu menghapuskan amalan rasuah dan mengukuhkan tatakelola yang baik dalam semua aspek.
Comments