top of page

PM Anwar perkukuh hubungan Malaysia-Belanda melalui pertemuan dengan Nexperia BV

  • Wartawan Nabalu News
  • Mar 16, 2024
  • 1 min read

16 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


HAMBURG: Dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan dan industri antara Malaysia dan Belanda, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengadakan pertemuan dengan para pegawai eksekutif Nexperia BV, sebuah syarikat semikonduktor berpangkalan di Belanda.

 

Pertemuan ini, yang berlangsung selama 50 minit, dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nexperia, Xuezheng Zhang, serta beberapa pegawai eksekutif lain termasuk Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Urusan Nexperia Germany, Stefan Tilger; Ketua Pegawai Operasi, Achim Kempe; Ketua Hal Ehwal Korporat, Jean-Pierre Kempeneers dan Pengarah Kanan, Ketua Advokasi dan Perikatan, Hannes Van Raemdonck.

 

Turut hadir dalam pertemuan ini adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

 

Nexperia BV, yang memiliki anak syarikat milik penuh di Malaysia, Nexperia Malaysia Sdn Bhd, telah mengembangkan operasi mereka dengan kilang terbaharu di Seremban, Negeri Sembilan. Menjelang 2026, Nexperia Malaysia merancang untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM1.6 bilion bagi bangunan, peralatan dan automasi di Malaysia.

 

Anwar, yang tiba di Berlin, Jerman, pada 10 Mac lepas bagi lawatan rasmi selama enam hari ke ekonomi ketiga terbesar dunia itu, juga mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Jerman, Canselor Olaf Scholz dan melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Frank-Walter Steinmeier. Selain itu, Perdana Menteri juga melawat kilang Siemens Energy di Huttenstrabe sebelum bertemu dengan lebih 35 pemimpin industri dan pelabur berpotensi dari Eropah pada mesyuarat meja bulat perniagaan.

Commenti


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page