PM Anwar terima kunjungan Menteri Luar Denmark, kukuhkan kerjasama dua hala
- nabalunews
- Dec 11, 2024
- 1 min read

11 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan rasmi Menteri Luar Denmark, Lars Løkke Rasmussen, di Bangunan Parlimen hari ini untuk membincangkan potensi pengukuhan hubungan dua hala dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menyatakan penghargaan atas pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.
"Saya mengalu-alukan pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur pada bulan Ogos yang lalu.
"Kami turut mengalu-alukan pelaburan dari Denmark di sektor-sektor bernilai tinggi seperti tenaga hijau, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan kesihatan. Saya turut menghargai pelabur dari Denmark yang telah membuka hub wilayah di sini, terutamanya syarikat Maersk dan United Plantations," tulisnya.
Lawatan kerja dua hari oleh Rasmussen ini merupakan yang pertama ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar Denmark, dan ia menandakan komitmen negara tersebut dalam memperkukuh hubungan dengan Malaysia.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Denmark bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024 meningkat sebanyak 12.9 peratus kepada RM2.19 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, Malaysia menempatkan lebih 100 syarikat dari Denmark dengan nilai pelaburan melebihi RM2.2 bilion dalam sektor pembuatan sehingga Jun 2024, yang telah menyediakan 5,024 peluang pekerjaan.
Commentaires