top of page

PM: Lawatan Agong ke Rusia buka lembaran baharu hubungan dua hala

  • nabalunews
  • Aug 4, 2025
  • 1 min read

4 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Rusia untuk Lawatan Negara membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dengan negara itu.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan yang bermula esok hingga 10 Ogos atas jemputan rasmi Presiden Vladimir Putin itu, dijangka merancakkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.


Beliau berkata, ia termasuk perdagangan dua hala, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan antara rakyat.


“Malaysia berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu daripada Russia, khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan, dan pertanian pintar sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.


Anwar berkata, lawatan itu amat bersejarah dan signifikan, menjadikan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Russia bagi Lawatan Negara sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara dimeterai pada tahun 1967.


“Ia melambangkan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan negara yang turut memainkan peranan strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia.


“Lebih penting, Lawatan Negara ini mengukuhkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara yang dihormati di peringkat antarabangsa, sekali gus memperteguh kedaulatan dan imej Malaysia sebagai negara yang berkecuali, terbuka dan progresif,” katanya.


Terdahulu, Anwar mengiringi Sultan Ibrahim ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat Sempena Lawatan Negara, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page