top of page

PM: Negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing

  • nabalunews
  • Aug 22, 2025
  • 1 min read

22 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing, sebaliknya perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan dibincangkan semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025, pada Khamis.


Katanya, dalam mesyuarat itu beliau turut menekankan keperluan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan perlu ditangani menerusi lensa keselamatan.


“Justeru, kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal, meningkatkan kesedaran awam serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.


“Dari segi perundangan, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini,” katanya menerusi hantaran Facebook.


Pada masa sama, Anwar berkata setiap individu turut memainkan peranan dalam melindungi data peribadi apabila berurusan dalam talian, antaranya menerusi penggunaan MyDigital ID.


Menurutnya, pendaftarannya di aplikasi itu kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi lain termasuk MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV.


Selain itu, katanya komitmen Malaysia terhadap keselamatan siber turut dizahirkan di peringkat antarabangsa.


“Dalam masa terdekat, kita akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam, sebagai bukti kesungguhan memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital,” ujarnya.


Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut menekankan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penyelidik dan pihak industri.


“Usaha ini diyakini akan memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal, membendung jenayah siber, dan memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terjamin,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page