top of page

PM: Peralihan kepada digitalisasi, AI antara faktor pengurangan pekerja PETRONAS

  • nabalunews
  • Aug 14, 2025
  • 2 min read

14 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Pengurangan kira-kira 5,000 kakitangan Petrolium Nasional Bhd (PETRONAS) dibuat antaranya atas faktor peralihan kepada penggunaan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan tersebut menyebabkan pertindihan fungsi dalam tenaga kerja, dan keputusan PETRONAS untuk melaksanakan pemberhentian pekerja dilihat sebagai langkah rasionalisasi dan penstrukturan semula organisasi.


Bagaimanapun katanya, pekerja yang mahu dihentikan secara berperingkat itu akan diserahkan kepada syarikat-syarikat yang ada termasuk menerusi kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).


"Ada pertindihan pekerja tetapi dalam pembuangan itu tidak seperti kita dengan biasa umpamanya dipastikan orang mahu dihentikan secara berperingkat ini, diserahkan kepada syarikat yang ada.


"Kedua, perbincangan dengan PERKESO untuk beri latihan dalam bidang-bidang baharu. Ketiga, minimum mereka mendapat jaminan gaji sepanjang tahun, dan beberapa terma lain seperti kemudahan perubatan dan sebagainya," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah pengurangan 10 peratus tenaga kerja PETRONAS benar-benar perlu dilakukan, dan apakah tindakan kerajaan dalam membantu nasib pekerja terbabit.


Perdana Menteri berkata, pemberhentian itu dilakukan secara berperingkat, bermula dengan pekerja kontrak yang tidak disambung, diikuti fasa seterusnya.


“Kemudian barulah dianggap fasa yang kedua dengan jaminan-jaminan tertentu, tentang kedudukan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.


Namun katanya, ia bukan suatu keadaan yang boleh dipandang ringan dan beliau sendiri telah berbincang berulang kali dengan Presiden dan CEO PETRONAS untuk menangani isu tersebut.


Dalam pada itu, Anwar berkata pengurangan pekerja oleh syarikat minyak dan gas bukan hanya membabitkan PETRONAS, tetapi turut dilakukan oleh syarikat minyak utama lain.


Beliau mengambil contoh British Petroleum (BP) yang mengumumkan pembuangan kira-kira 6,200 pekerja menjelang akhir 2025, manakala Chevron pada Februari lalu mengumumkan pembuangan pekerja antara 8,000 hingga 9,000.


“Ini berlaku daripada semua syarikat-syarikat minyak utama dalam negara. Jadi bukan sesuatu yang asing dan ini termasuk semua syarikat-syarikat yang disebut Exxon Mobil, Shell, Aquino, ConocoPhillips, NSB,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page