PM sampaikan sumbangan sempena Deepavali kepada keluarga kurang berkemampuan
1 November 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinannya terhadap keluarga yang memerlukan dengan menyampaikan sumbangan barangan asas dan kelengkapan Deepavali kepada dua keluarga kurang berkemampuan menjelang perayaan Pesta Cahaya tahun ini.
Penyerahan sumbangan itu diwakili oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, kepada Puan Jayalechmi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, sementara suaminya bertugas sebagai kelindan lori.
“Puan Jayalechmi bekerja sebagai pengawal keselamatan dan suaminya pula bekerja sebagai kelindan lori perlu menyara empat orang anak yang masih bersekolah rendah. Moga sumbangan ini meringankan beban kehidupan dan memeriahkan lagi sambutan kehadiran Hari Deepavali pada kali ini,” kata Anwar dalam kenyataannya di Facebook.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan kepada Joselyn Dewi dan keluarganya.
Joselyn yang bertanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak kematian bapanya, juga menjaga dua adik yang bersekolah serta seorang adik bongsu yang menghidap autisme.
Perdana Menteri turut membantu mempercepatkan proses permohonan kad pengenalan Joselyn bagi memudahkan urusannya.
“Joselyn memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kematian bapa manakala ibunya pula pulang ke Filipina,” tambah Anwar.
Comments