top of page

PM: Thailand-Kemboja sepakat teruskan dialog, kekalkan gencatan senjata

  • nabalunews
  • Aug 7, 2025
  • 1 min read

7 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit di Perdana Putra.


Anwar berkata, pertemuan itu amat bermakna kerana kedua-dua pihak berjaya mencapai kesepakatan penting untuk meneruskan dialog dan mengekalkan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja yang bermula sejak 28 Julai lalu.


“Ia mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat mustahak dalam landskap geopolitik hari ini.


"Saya menghargai keyakinan yang diberikan oleh Thailand dan Kemboja kepada Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan, khususnya melalui peranan penting Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Menurutnya, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.


Anawar berkata, pertemuan yang berlangsung selama lebih 30 minit itu turut menyentuh cadangan penempatan pasukan ASEAN Observer Team (AOT) bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan.


“Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan dan keyakinan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page