PM ucap tahniah pencapaian kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

22 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh kontinjen Malaysia Malaysia atas pencapaian membanggakan pada Sukan SEA Thailand baru-baru ini.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang teguh para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.
“Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.
Menurutnya, persediaan itu bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran, malah membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia.
“Lebih daripada itu, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang menyatukan kita merentas kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.
“Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” ujarnya.
Malaysia mempamerkan prestasi membanggakan dalam temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang melabuhkan tirainya kelmarin apabila menamatkan cabaran di tempat keempat dengan kutipan 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa.
Kejayaan itu juga menyaksikan Malaysia melepasi sasaran 200 pingat ditetapkan sebelum ini dengan menghimpunkan 231 pingat secara keseluruhan.


















Comments