top of page

PMX Umum BDR Penjawat Awam Secara Berperingkat, Sektor Swasta Digesa Contohi

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


27 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan bahawa pegawai awam akan dibenarkan melaksanakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) secara berperingkat dan terpilih berkuat kuasa serta-merta, sebagai langkah strategik menangani kesan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.


Dalam perutusan khas yang disiarkan pada pukul 6.30 petang semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sedang memperincikan peraturan kerja lebih anjal bagi penjawat awam bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia .


"Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk keputusan untuk menetapkan peraturan kerja yang lebih fleksibel seperti bekerja dari rumah. Penjawat awam akan dapat melaksanakan bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih," ujar beliau .


Turut hadir dalam sesi ucapan khas itu, Perdana Menteri menggesa sektor swasta supaya menyahut seruan kerajaan dengan turut melaksanakan inisiatif BDR seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini .


"Saya percaya, Insya-Allah, selain daripada sektor awam, kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini," katanya .


Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus menjaga disiplin kewangan, mengelak pembaziran dan ketirisan, serta memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal luar biasa walaupun berdepan cabaran global .


"Setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia, kita lihat Malaysia masih mendapat tarikan dan menjadi pusat pelaburan yang sangat aktif, sepertimana yang telah diumumkan melalui beberapa langkah. Walaupun kemelut dan peperangan berlaku, masih ramai pelabur yang datang," tegas beliau .


Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengajak rakyat bersama-sama mendoakan kesejahteraan negara sambil menekankan bahawa semua rakyat, sama ada di sektor awam atau swasta, perlu bekerja dengan gigih dan bersungguh-sungguh .


"Biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi dalam setiap ujian dan cabaran daripada Allah Subhanahu wa ta'ala. Keadaan yang berlaku di dunia masih memberi kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita," katanya .


Pelaksanaan BDR bagi sektor awam akan dilaksanakan secara berperingkat dengan perincian lanjut akan dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat .


Langkah ini selaras dengan inisiatif beberapa negara Asia Tenggara lain termasuk Myanmar, Thailand dan Indonesia yang telah memperkenalkan dasar BDR bagi penjawat awam bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan api .

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page