Polis gagal pastikan laluan selamat Ahli Parlimen hadiri Mesyuarat PAC di ParlimenPolis gagal pastikan laluan selamat Ahli Parlimen hadiri Mesyuarat PAC di Parlimen
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Polis gagal pastikan laluan selamat Ahli Parlimen hadiri Mesyuarat PAC di Parlimen



2 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan


KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh, kesal dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gagal memberikan laluan selamat kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara untuk prosiding PAC bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Parlimen, yang dijadualkan bermula pukul 10.30 pagi hari ini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, dalam perjalanannya ke Bangunan Parlimen, beliau telah memaklumkan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya berkenaan dengan tugasannya selaku Pengerusi PAC dan meminta supaya laluan diberikan tetapi tidak dibenarkan.


“Perkara yang sama juga berlaku ke atas beberapa ahli PAC yang turut berhadapan dengan sekatan jalan raya walaupun kami mempunyai surat panggilan mesyuarat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan mengenai mesyuarat Jawatankuasa ini.


“Malah, anggota polis turut mengugut untuk menahan saya sekiranya saya tidak beredar dari tempat sekatan jalan raya dalam tempoh dua minit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Wong berkata, Walaupun pada akhirnya Ahli-Ahli PAC diberikan laluan setelah campur tangan daripada Pengurusan Parlimen, namun tindakan sebegini adalah uncalled-for.


“Ini juga merupakan satu ancaman terhadap peranan kami selaku Ahli PAC. la adalah bertentangan dengan usul yang memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga laluan masuk dan keluar untuk ahli-ahli Parlimen hadir ke sebarang mesyuarat di Parlimen yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada setiap pembukaan penggal, dan juga menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan,” katanya.


Beliau berkata, kehadiran mereka di Bangunan Parlimen adalah bertujuan untuk menghadiri Prosiding PAC dan surat panggilan mesyuarat berkenaan adalah bukti jelas dan nyata kepada anggota PDRM.


Mengenai prosiding Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia, PAC hari ini memanggil KKM yang dihadiri Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan; Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha KKM; Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan dan Dr Roshayati Rusli, Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Prosiding tersebut berjalan dengan amat lancar dengan pematuhan segala SOP kesihatan.


Beliau berkata, prosiding berlangsung selama hampir tiga setengah jam bermula jam 10.30 pagi dan ia adalah prosiding keempat selepas prosiding bersama Kementerian Kewangan pada 28 Julai lalu.


“PAC akan berbincang mengenai laporannya dan akan mengemukakan rumusan serta syor kepada Kerajaan mengenai isu ini sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya dalam sidang Parlimen Oktober nanti,” katanya.

bottom of page