Polis siasat konspirasi jatuhkan kerajaan, sabotaj kestabilan negara
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

27 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.
"Laporan polis mengenai kes ini diterima pada 26 Februari dan polis kini sedang giat melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut.
"Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun.
Mohd Khalid berkata, siasatan masih diteruskan dan masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.















Comments