Polis tumpaskan geng pecah rumah di Tawau

22 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang bergiat aktif dalam kes pecah rumah di daerah ini, dikenali Geng Ali Baba apabila menangkap tiga suspek lelaki, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketiga-tiga suspek, termasuk seorang warga asing berusia di antara 21 hingga 60an itu ditangkap dalam tiga serbuan berasingan.
Katanya, kesemua mereka berjaya diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau yang digerakkan dalam operasi mengesan kumpulan tersebut.
"Operasi dijalankan susulan laporan polis dibuat seorang penjawat awam yang mengesyaki rumah kebun miliknya di Jalan Garson Spur Apas Balung, dipecah masuk.
"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sri Indah selepas mendapati beberapa peralatan di kebun itu hilang, dipercayai dicuri," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Jasmin berkata, suspek pertama, 21, ditangkap di Kg Inderasabah dan pihaknya turut merampas satu set pembesar suara di rumahnya.
Manakala, suspek kedua, 30an, diberkas di kampung sama yang membawa kepada rampasan lebih banyak barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.
Katanya, suspek ketiga, 60an, ditangkap dalam serbuan rumah di Kampung Wakuba dan pasukannya juga merampas sebuah amplifier dan sebuah komputer riba di rumah tersebut.
Tambahnya, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Yorumlar