top of page

PPKS dan Pejabat UPPM Kadamaian kerjasama turun padang tingkatkan kesedaran mengenai bahaya kanser

  • nabalunews
  • Aug 10, 2024
  • 1 min read

10 Ogos 2024


KOTA BELUD: Bagi meningkatkan lagi kesedaran umum mengenai bahaya kanser, Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N11 Kadamaian bekerjasama dengan Persatuan Pencegahan Kanser Sabah (PPKS) menganjurkan program turun padang untuk menggalakkan masyarakat khususnya golongan wanita menjalani pemeriksaan kesihatan bagi pengesanan awal dan pencegahan kanser.


Program kesedaran kanser bertemakan Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati, Pengesanan Awal Kanser Menyelamatkan Nyawa ini berlangsung di Dewan Gopog Kampung Taginambur Kota Belud, hari ini.


Ia dirasmikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Antara pengisian program adalah saringan kesihatan, saringan kanser servik, ceramah mengenai kanser payudara, servik dan usus serta pendaftaran subsidi mamogram.


Ceramah dikendalikan seorang pengamal perubatan, Dr. Raizin Kusop.


Antara intipati ceramah beliau, kini golongan wanita di Sabah semakin peka mengenai bahaya kanser dan berani tampil bagi menjalani pemeriksaan kesihatan untuk pengesanan dan pencegahan awal kanser.


Turut diadakan sesi soal jawab.


Selain itu, turut dilaksanakan suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) percuma kepada wanita berusia 13 hingga 45 tahun yang bertujuan mencegah golongan itu dijangkiti kanser servik.


Turut hadir Presiden PPKS, Lawrence Imui, Penyelia UPPM N11 Kadamaian, Joel Deukin, Pemaju Masyarakat UPPM Kadamaian, Clarence Somuil dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Taginambur, Keriah Indan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page