top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

PPV Dewan Mini Putrajaya tidak benarkan ibu bapa temani anak di ruang suntikan, adakah ini wajar?


Gambar fail

10 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Beberapa ibu bapa telah menzahirkan tanda tanya samada terdapat arahan atau prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mereka tidak dibenarkan untuk menemani anak mereka sewaktu menerima suntikan vaksin Covid-19.


Arahan terbaru dari Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa ibu bapa memang dibenarkan untuk menemani remaja berumur 13 sehingga 17 tahun semasa menerima suntikan vaksin.


Namun, difahamkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Mini Putrajaya di sini melarang ibu bapa untuk berada bersama di ruang atau bilik menerima vaksin atas alasan perlu menjaga penjarakkan sosial.


Seorang ibu kepada remaja berusia 15 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, beliau adalah salah satu yang dihalang untuk berada di ruangan suntikan itu.


“Saya faham mungkin mereka mahu menjaga SOP, tapi saya telah melihat pelbagai laporan dan video yang ditularkan di media sosial bahawa terdapat petugas yang menyuntik remaja menggunakan picagari kosong.


“Saya cuma risau jika hal ini terjadi kepada anak saya, sebab itu saya mahu menemaninya di ruang suntikan itu namun saya dihalang,” katanya ketika dihubungi Nabalu News.


Tambahnya, ibu bapa berhak untuk berada di ruangan itu agar dapat mengelak sebarang masalah yang tidak diingini.


“Saya berharap pihak PPV Dewan Mini Putrajaya ini dapat mencari jalan lain untuk memperbesarkan ruangan suntikan agar ibu bapa dapat menemani anak mereka sekaligus boleh menjaga penjarakkan sosial,” ujar Lee.


Sementara itu, seorang lagi bapa yang membawa anaknya mengambil vaksin di PPV Dewan Mini Putrajaya juga mengalami situasi yang sama.


Beliau yang tidak mahu namanya didedah itu berkata, beliau serta ibu bapa yang lain ditempatkan di ruangan berasingan semasa di PPV itu.


“Saya rasa ada baik juga (tidak perlu ramai-ramai berada di ruangan suntikan untuk menjaga SOP), namun agak tidak sesuai jika kita tidak dibenarkan untuk menemani remaja bawah umur.


“Ada kalanya, mereka yang masih di bawah umur belum begitu ada keberanian untuk berseorangan menerima vaksin.


“Mereka perlu ditemani agar ada keyakinan untuk menerima vaksin itu,” katanya.


Menurut bapa kepada remaja berusia 17 tahun itu, adalah sangat penting bagi ibu bapa atau penjaga untuk berada di sisi anak mereka semasa menerima suntikan vaksin.


“Namun, ibu bapa harus mematuhi SOP yang ketat itu. Jangan pula asyik melihat anak sendiri saja, ibaratnya biar menemani dengan cara yg amat patuh kepada SOP dan dalam masa sama anak berkeyakinan penuh dalam menghadapi pemberian vaksin,” jelasnya.


Anniey Appolonia Thomas juga merupakan salah seorang ibu yang dihalang untuk menemani anak mereka menerima suntikan vaksin di PPV yang sama.


Namun, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi arahan ini kerana anaknya dibenarkan mengambil video semasa proses suntikan itu.


“Saya seorang yang jenis berfikiran terbuka dan saya tidak terlalu terganggu dengan arahan ini, yang penting ada bukti bahawa anak saya menerima suntikan penuh.


“Lagipun, anak saya memberitahu bahawa jururawatnya ada menunjukkan picagari yang berisi vaksin Pfizer sebelum memulakan proses suntikan,” katanya.


Jelasnya lagi, apa yang penting adalah anaknya mempunyai bukti semasa proses suntikan itu.


“Memang terdapat ibu bapa yang mengecam arahan ini kerana mereka mahu menemani anak mereka.


“Saya faham kerisauan mereka ini kerana terdapat isu picagari kosong yang pernah ditularkan sebelum ini,” tambah Anniey.

bottom of page