top of page
  • Wartawan Nabalu News

Presiden Turki akan lawat Malaysia dalam masa terdekat, bincang pelbagai isu


7 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar berkata, Erdogan telah menyatakan komitmen jelas untuk memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara semasa pertemuan secara maya bersama beliau semalam.


"Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan," katanya dalam hantaran menerusi Facebook.


Anwar berkata, beliau dan Erdogan membincangkan tentang kerjasama pertahanan, dengan Turki menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) pada Mei lepas.


Beliau menzahirkan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turki dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia dengan Turki.


"Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat," kata Anwar.


Anwar juga menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.


Beliau memaklumkan kepada Erdogan mengenai usaha Malaysia dalam menentang Islamofobia (permusuhan dan benci ke atas Islam) susulan tindakan membakar al-Quran di Sweden dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh barat.


"Lantaran itu, Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai satu daripada usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman barat terhadap Islam," katanya.



bottom of page