PRK Nenggiri: Angkatan Muda Harapan mahu pastikan kemenangan calon BN
- nabalunews
- Jul 19, 2024
- 2 min read

18 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Harapan menyatakan sokongan dan kesediaan untuk membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Setiausahanya, Omar Mokhtar A Manap, berkata ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Angkatan Muda Harapan Bilangan 2 Tahun 2024 yang bersidang semalam.
"Angkatan Muda Harapan turut menyeru semua jentera Pakatan Harapan (PH) pada setiap peringkat untuk bersedia memberikan sokongan dan kerjasama kepada jentera BN dalam kempen PRK DUN Nenggiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Mohd Azmawi Fikri yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Nenggiri.
PRK itu diadakan susulan pengumuman
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengenai kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 dan 13 Ogos depan, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
Dalam pada itu, Omar Mokhtar berkata, mesyuarat turut menyokong penuh penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula semalam.
Beliau berkata, tindakan itu harus menjadi pengajaran buat semua Ahli Parlimen supaya berbahas dengan fakta yang jelas dan sahih tanpa cuba untuk mengelirukan Dewan.
Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti dalam undi belah bahagi, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Terdahulu, usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan dibahaskan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) serta Azli Yusof (PH-Shah Alam) sambil dicelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sementara itu, Omar Mokhtar berkata, Angkatan Muda Harapan telah melaksanakan penyusunan semula barisan pimpinan utama pada peringkat pusat dan negeri bagi memperkasakan kekuatan jentera pemuda PH, dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Angkatan Muda Harapan Bilangan 2 Tahun 2024 yang bersidang semalam.
Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen telah dipilih bagi mengetuai Angkatan Muda Harapan.
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Pemuda Amanah, Senator Hasbie Muda, Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang dan Ketua Wanita Muda Amanah (Warda), Masturah Abu Bakar dipilih sebagai Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan.
Manakala Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud, Carlye Lajimin dipilih sebagai Naib Ketua Angkatan Muda Harapan bersama-sama Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid.
Angkatan Muda Harapan terdiri daripada AMK, DAPSY, Pemuda Amanah Nasional, Wanita Muda Amanah Nasional (Warda), Pergerakan Pemuda UPKO dan Pergerakan Generasi Muda UPKO.


















Comments