PRN Johor: PKR guna logo sendiri, DAP, Amanah guna logo PH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRN Johor: PKR guna logo sendiri, DAP, Amanah guna logo PH


26 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan logonya sendiri, sementara Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP akan menggunakan logo PH semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Mengenai pembahagian kerusi pembangkang, Majlis PH juga akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).


"Ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihanraya Negeri Johor akan datang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.


Majlis PH dalam mesyuarat itu juga telah bersetuju memuktamadkan keputusan mengenai agihan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh Keadilan, DAP dan Amanah.


“Majlis memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang masing-masing diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasir (KEADILAN), Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng (DAP) dan Aminolhuda Hassam, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah (AMANAH).


Mengulas lanjut, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon PH diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

bottom of page