PRN17 Sabah: Permohonan undi pos dibuka 13 Oktober
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 1 min read

10 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 akan dibuka bermula Isnin, 13 Oktober 2025.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, permohonan itu bagi semua kategori iaitu Kategori 1A melibatkan anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media.
“Selain itu, Kategori 1B pula khusus untuk warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, manakala Kategori 1C membabitkan agensi atau organisasi yang dibenarkan oleh SPR.
"Pemilih yang ingin mengundi secara pos perlu mendaftar atau memiliki akaun MySPR sebelum membuat permohonan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian melalui pautan rasmi SPR di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Menurutnya, tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian disediakan di 03-8892 7080 atau 03-8892 7218.