Program Jelajah Wanita PH di Tongod tekankan kepimpinan wanita
- nabalunews
- Aug 30, 2024
- 1 min read

30 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TONGOD: Program Jelajah Wanita Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung di Dewan Dongison, Entilibon, Tongod pada Khamis memberi penekanan terhadap keperluan untuk mengangkat lebih ramai wanita sebagai pemimpin.
Program tersebut diketuai oleh Ketua Wanita PH Sabah, Jannie Lasimbang, dan dianjurkan oleh Ketua Wanita UPKO Malaysia, Mohina Sidom, yang juga Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan.
Antara pengisian yang telah diadakan semasa program tersebut ialah forum "Bina Wanita Negara Maju".

Moderator forum, Jannie Lasimbang, bersama panel-panel yang terdiri daripada Kasthuriraani Patto (Naib Ketua Wanita DAP Kebangsaan), Ferlita Ubara (Ketua Penerangan Exco Wanita UPKO Pusat), Bronika Sikula (DAP), dan Siti Jaharah (Ketua Wanita PKR Kinabatangan) membincangkan secara mendalam tentang peranan wanita dalam kepimpinan negara.
Dalam forum tersebut, mereka sebulat suara menyuarakan keperluan untuk memberi peluang lebih luas kepada wanita untuk memimpin.
Selain itu, forum tersebut juga mengemukakan satu cadangan yang menarik permintaan untuk meletakkan calon wanita di DUN Kuamut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Dalam program tersebut, seramai 100 orang suri rumah di bawah kategori B40 telah menerima Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso yang disampaikan oleh Pengerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Kasthuriraani Patto, yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Kawan.
Inisiatif ini diambil sebagai usaha untuk memperkukuh keselamatan sosial dan kesejahteraan golongan wanita yang merupakan tulang belakang kepada keluarga dan masyarakat.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Bahagian Amanah Kinabatangan, Mahalil Mutalib, serta wakil dari PKR Kinabatangan dan Ketua Penerangan UPKO Malaysia, Dr Peter Jr Naintin.
Comments