Program Jiran Warga Emas Kampung Panaitan Kukuhkan Perpaduan dan Amalan Gaya Hidup Sihat
- nabalunews
- Sep 21
- 1 min read

21 September 2025
KOTA MARUDU: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Panaitan, Kota Marudu, telah menganjurkan Program Jiran Warga Emas bertempat di Dewan Kampung Panaitan pada 16 September lalu. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kawasan Bandau, Suzie Salapat.
Dalam ucapannya, Suzie menyatakan penghargaan atas inisiatif murni penganjur yang berjaya melaksanakan program berbentuk kesejahteraan komuniti.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap pengisian program, khususnya ceramah kesihatan dan demonstrasi penyediaan smoothie berasaskan buah-buahan serta sayur-sayuran yang dikendalikan oleh Cikgu Juilin Gumpil. Katanya, aktiviti seumpama ini berupaya memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurut Suzie, penganjuran program tersebut sangat signifikan kerana ia memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kesihatan warga emas, di samping mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat setempat. Beliau menegaskan bahawa program berbentuk interaktif seperti ini mampu menggalakkan komuniti untuk bersama-sama mempraktikkan amalan pemakanan sihat dan menjaga kesejahteraan diri.
Suzie turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) penganjur yang diketuai oleh Juihin atas kejayaan menganjurkan program berkenaan dengan penuh dedikasi. Beliau menekankan bahawa inisiatif seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan, malah dapat memperkukuh semangat perpaduan di Kampung Panaitan.
Kejayaan penganjuran program ini jelas menunjukkan bahawa kekuatan komuniti terletak pada semangat gotong-royong dan kerjasama yang padu. Justeru, adalah diharapkan agar program seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain di Kota Marudu, sekali gus memperkukuh kesedaran kesihatan serta meningkatkan perpaduan masyarakat secara menyeluruh.


















Comments