Program RazakSAT-2 diganti PSPJN, Pembinaan Stesen Satelit Bumi Tuaran tidak diteruskan: MOSTI
- nabalunews
- Feb 5
- 1 min read

5 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Pembinaan Stesen Satelit Bumi di Kampung Laya-Laya Tuaran tidak diteruskan memandangkan Program RazakSAT-2 yang diluluskan pada 5 Disember 2012 ditamatkan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), RazakSAT-2 digantikan dengan program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN).
Katanya, berikutan penamatan RazakSAT-2, semua skop dan aktiviti termasuk pembangunan stesen bumi baharu juga ditamatkan.

"Selain itu, pengoperasian dua stesen penerima data satelit sedia ada di Temerloh, Pahang dan Banting, Selangor adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan negara.
"PSPJN dijangka dapat mencapai matlamat dan keperluan pengoperasian semasa dan akan datang terutamanya dalam aspek perolehan data bagi keperluan strategik negara,” katanya.
MOSTI menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Soalan Lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO - Tuaran) di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.
Dalam soalan itu, Ahli Parlimen Tuaran meminta MOSTI menyatakan status pembinaan Stesen Satelit Bumi yang telah diluluskan pada tahun 2016 dengan peruntukan RM27.5 juta di Kampung Laya-Laya.
"Bilakah akan dilaksanakan, mengapa kelewatan pelaksanaannya berlaku dan bilakah ia dijangka siap," ujar beliau.
Untuk rekod, pembinaan Stesen Satelit Bumi di Kampung Laya-Laya, Tuaran telah dikenalpasti sebagai keperluan untuk membangunkan stesen bumi bagi tujuan meningkatkan kecekapan penjejakan, pengawalan dan telemetri satelit RazakSat-2.
Dalam pada itu, MOSTI juga memaklumkan bahawa kementeriannya melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sentiasa berusaha dan komited untuk membangunkan landskap ekosistem teknologi angkasa di Malaysia.
"Ia seiring dengan matlamat Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dan menguasai bidang teknologi angkasa seterusnya menyumbang pertumbuhan ekonomi, penjanaan ilmu, pembangunan lestari, kedaulatan dan kesejahteraan negara," menurut kementerian berkenaan.
Comments