top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Majikan tidak boleh kenakan penalti pekerja keluar mengundi



10 November 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Majikan tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.


Beliau berkata, majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun sekiranya disabitkan kesalahan.


"Sehubungan itu kementerian menggesa semua majikan dalam sektor swasta memberikan kebenaran kepada pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi selaras peruntukkan di bawah Subseksyen 25(1) Akta 5.


“Para majikan hendaklah berbincang dengan pekerja berkenaan pilihan untuk pemberian 'time-off', hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi tujuan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.


“Majikan boleh mengambil langkah-langkah seperti memberi “time off” kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian yang berdekatan atau memberi pelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, bagi pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat mengundi, boleh mengambil cuti tahunan.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15. Manakala hari pengundian awal pada 15 November ini.


Comments


bottom of page