top of page

Syarikat telco diarah pantau prestasi rangkaian sempena Aidilfitri

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

19 Mac 2026


CYBERJAYA: Semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) telah diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara berterusan bagi memastikan kualiti perkhidmatan kekal stabil sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata, telco juga diminta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan.


Menurut MCMC, pihaknya bersama telco telah mengambil langkah awal memperkukuh rangkaian komunikasi di seluruh negara bagi memastikan pengguna terus menikmati perkhidmatan yang lancar dan stabil.


“Sejak awal Mac 2026, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan oleh telco di seluruh negara untuk menampung peningkatan trafik komunikasi sepanjang musim perayaan.


“Langkah ini memberi tumpuan kepada lokasi yang dijangka mengalami peningkatan trafik komunikasi yang tinggi antaranya lebuh raya utama, kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah, destinasi pelancongan serta kawasan tumpuan orang ramai sempena Aidilfitri,” katanya.


MCMC berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 774 inisiatif membabitkan kerja pengoptimuman rangkaian bagi meningkatkan kualiti liputan dan kapasiti serta 27 inisiatif membabitkan pengaktifan serta modenisasi rangkaian 5G.


Pada masa sama, sebanyak 21 penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station (PBTS), Cellular on Wheel (CoW), Mobile Base Transceiver Station (MBTS) dan Mobile Communications Vehicle (MCV) turut digerakkan bagi menambah sokongan liputan di kawasan tumpuan.


“Selain itu 19 kerja naik taraf rangkaian, 14 inisiatif membabitkan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN), 10 inisiatif membabitkan pengaktifan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) dan satu tapak baharu turut diaktifkan bagi menyokong keperluan liputan tambahan," katanya.


Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat negeri, termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal.


Orang ramai yang menghadapi masalah rangkaian disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi MCMC untuk tindakan segera.


"MCMC kekal komited untuk memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan selamat, khususnya ketika pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga sempena Aidilfitri," katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page