Pusat tahanan APMM, lokap AADK akan dipasang CCTV berteknologi tinggi - PM
- nabalunews
- Sep 26, 2025
- 1 min read

26 September 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dicapai ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 semalam.
Katanya, keputusan berkenaan dibuat sebagai usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terpelihara.
“Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik Kerajaan selaras dengan Strategi Pembanteras Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” katanya menerusi X.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan turut memandang serius insiden berulang pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara yang bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, malah menyebabkan ketirisan hasil laut yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.
“Atas keprihatinan dan pendirian kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat bersetuju supaya isu-isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat,” ujarnya.
Anwar berkata, reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui itu mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara.
Selain itu, mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam.















Comments