Rafizi: Kerajaan berbelanja berpada-pada, elak hutang ‘buta’
- Wartawan Nabalu News
- Mar 22, 2023
- 1 min read

22 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan berpegang kepada prinsip untuk terus berbelanja dengan cara yang berpada-pada dan mengelak daripada berhutang secara sewenang-wenangnya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan, kerajaan tidak berbelanja untuk menarik hati atau mendapatkan sokongan rakyat sahaja.
"Tidak timbul soal kerajaan tak belanja. Yang penting kerajaan belanja dengan cara yang berpada-pada dan dapat nilai yang baik dan bukan berhutang ‘buta’, tetapi akhirnya hutang itu digunakan untuk bayar projek-projek seperti Jana Wibawa.
“Dari segi perancangan kerajaan, kerajaan akan terus belanja besar tetapi tidak akan (berhutang) semata-mata untuk dapat sokongan rakyat bawah dengan mengambil hutang yang besar supaya Perdana Menteri kelihatan popular, sehingga kita melepasi tahap defisit yang secara antarabangsanya dikira sudah dalam keadaan bahaya sebab ia berkait juga dengan hutang-hutang akan datang yang kita ambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah di dewan rakyat pada Rabu.
Rafizi juga berkata, penarafan hutang negara akan lebih tinggi jika negara melampaui sasaran defisit yang ditetapkan.
“Setiap kali kalau ada pentadbiran baru mengambil pendekatan berhutang semata-mata tanpa menjaga defisit dan penarafan hutang kita, maknanya jumlah faedah yang perlu dibayar itu berganda-ganda dan kalau sekarang RM40 bilion, lima tahun lagi jadi RM60 bilion,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, pendekatan belanja secara berpada-pada selain usaha mengawal hutang negara akan dapat membantu rakyat terutama golongan rentan di negara ini.
Comments