Rahman Dahlan Pelawa Kerajaan Sabah bersama Kerajaan Persekutuan Bangunkan UMS
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

26 September 2025
KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menegaskan, walaupun universiti awam secara dasarnya berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah juga wajar memainkan peranan proaktif dalam menyokong kelestarian UMS, khususnya dalam menghadapi kekangan bajet yang semakin ketara.
Beliau berkata, lebih 60 peratus pelajar UMS adalah anak-anak Sabah, dan sekiranya isu kekangan kewangan ini tidak ditangani dengan kerjasama semua pihak, pelajar Sabah juga akan turut terkesan secara langsung.
“Saya faham universiti awam adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan, tetapi kita tidak boleh berdiam diri apabila semua universiti kini berdepan tekanan kewangan yang nyata.
“Justeru, Kerajaan Negeri perlu tampil membantu, sekurang-kurangnya dengan menyediakan peluang penjanaan pendapatan baharu kepada universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Universiti, di sini pada Khamis.
Datuk Seri Rahman mencadangkan agar UMS diberi ruang untuk mengurus perniagaan berskala rendah risiko, seperti pengedaran gas, yang mempunyai pembekal dan pasaran sedia ada.
Pendekatan ini diyakini dapat membantu UMS menjana pendapatan sendiri secara mampan tanpa beban tambahan kepada kerajaan.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar sebahagian kecil daripada projek mega Kerajaan Negeri bernilai antara RM30 hingga RM40 bilion dapat diberikan kepada anak-anak syarikat universiti sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan UMS kepada dana operasi.
Datuk Seri Rahman juga menggesa agar kursus-kursus di UMS ditawarkan dalam bentuk micro-credential dan pembelajaran atas talian, bagi meningkatkan keanjalan kemasukan pelajar serta mengurangkan kos penyediaan infrastruktur fizikal.
Beliau turut menekankan pentingnya dana CSR syarikat-syarikat besar di Sabah diurus secara strategik dan sebahagiannya disalurkan kepada universiti awam seperti UMS bagi menyokong operasi harian dan inisiatif penyelidikan.
“Kita tidak minta Kerajaan Negeri ambil alih tanggungjawab Persekutuan.
“Tetapi kita harap ada rasa bersama. Ini universiti yang mendidik rakyat Sabah. Jika UMS terkesan, maka anak-anak Sabah juga akan menanggung akibatnya
“UMS adalah aset strategik negeri Sabah yang perlu dipertahankan bersama demi kelangsungan ilmu, kesejahteraan pelajar, dan masa depan pendidikan tinggi di Borneo,” ujar Datuk Seri Rahman lagi.
Comments