Rakyat Malaysia di luar negara boleh jadi duta produk PKS negara - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat Malaysia di luar negara boleh jadi duta produk PKS negara - Ewon



13 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


BERLIN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan agar rakyat Malaysia di Jerman dan seluruh dunia menjadi duta kepada produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.


Beliau berkata, syarikat kecil dan sederhana di Malaysia mempunyai banyak produk dan perkhidmatan yang berpotensi besar untuk dipasarkan ke luar negara.


“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan dan koperasi, kami (KUSKOP) berharap semua rakyat Malaysia yang berada di seluruh dunia menjadi duta tidak rasmi kepada produk dan perkhidmatan SME kita.


“Syarikat kecil dan sederhana di negara kita mempunyai banyak produk dan perkhidmatan yang berpotensi dan wajar untuk kita promosikan di negara di mana kita belajar atau bekerja termasuk di Jerman,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakyat Malaysia di Jerman, semalam.


Ewon berkata, ketika ini terdapat 1.1 juta syarikat PMKS di seluruh Malaysia yang kebanyakannya adalah syarikat mikro dan lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan lebih 7 juta orang.


“Ini satu jumlah yang besar dan sudah tentu dengan lawatan kerja ini dan dengan apa yang diusahakan oleh Perdana Menteri, melalui pertemuan dengan kapten-kapten industri, pertemuan dengan Chancellor dan komitmen untuk melabur dalam negara kita di Malaysia sudah tentu kita berharap agar PMKS merebut peluang itu,” katanya.


Beliau berharap, syarikat PMKS di Malaysia dapat merebut peluang yang ada dalam rantaian bekalan syarikat-syarikat yang melabur di Malaysia.


“Sebab itu, kita berada di sini (Jerman) untuk mencari manfaat bagaimana PMKS di negara kita boleh memainkan peranan.


“Kita juga berharap agar rakyat Malaysia di Jerman dapat membantu menjadi duta mempromosikan produk PMKS terutamanya F&B yang saya percaya kita rindui kalau di Malaysia,” katanya.


Turut hadir Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Corp Rizal Nainy, Pengerusi Bukan Eksekutif SME Bank Datuk Muslim Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Aria Putra Ismail.


Beberapa agensi di bawah KUSKOP akan menyertai SME Future Day anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW), bermula hari ini.


Enam syarikat daripada Malaysia akan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka di Jerman, iaitu empat syarikat usahawan yang dibangunkan oleh SME Bank di bawah Business Exports Programme dan dua syarikat francais negara.


Syarikat-syarikat SME tersebut ialah Marniq Bersatu Sdn Bhd, Primelux Energy Sdn Bhd, Ade Azhar Trading Sdn Bhd dan 59Kopa Sdn Bhd.


Manakala dua syarikat francais pula ialah Marrybrown Sdn Bhd dan Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd.

bottom of page