Rakyat Sabah tagih janji Baharu Maximus selesai isu MA63 dalam 100 hariRakyat Sabah tagih janji Baharu Maximus selesai isu MA63 dalam 100 hari
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat Sabah tagih janji Baharu Maximus selesai isu MA63 dalam 100 hari


(Dari kiri) Felix, Joel dan Carlye

31 Ogos 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Selepas gagal menyelesaikan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh enam bulan awal tahun lepas, rakyat Sabah kini memerhati dan ternanti-nanti Datuk Dr.Maximus Ongkili menunaikan janji baharu berhubung isu yang sama dalam tempoh 100 hari. Rata-rata rakyat Sabah berpendapat Maximus gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagai Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal negeri Sabah dan Sarawak. Ini terbukti apabila Maximus dengan jelas tidak dapat mengotakan janjinya menyelesaikan isu berkaitaan MA63. Menurut mereka, Maximus hanya sekadar mengulangi beberapa ketetapan bersama yang telah dicapai semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu bagi mengaburi mata rakyat. Belum pun janji enam bulan tertunai, kini beliau menawarkan janji baharu bagi maksud yang sama semata-mata untuk "memancing" sokongan rakyat. Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dalam Kabinet Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Selepas mengumumkan barisan kabinet persekutuan Jumaat lepas, Ismail Sabri memberi kata dua kepada anggota kabinetnya untuk membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama. Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia Felix Joseph Saang berkata, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri hari ini harus menunaikan janji yang dilafazkan. “Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Dr.Maximus sudah menyatakan bahawa mereka akan selesaikan isu MA63 dalam tempoh enam bulan. Tapi, sehingga hari ini, belum ada usaha atau tindakan yang mereka lakukan. “Perdana Menteri yang baru dilantik pula memberi arahan kepada menteri kabinetnya untuk membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari. Rakyat akan menuntut pencapaian yang dijanjikan. Rakyat Sabah sudah pasti mahu MA63 diselesaikan,” katanya. Sementara itu Ketua Generasi Muda (GEM) Kota Belud Joel Deukin berkata, inilah masanya Maximus membuktikan kepada rakyat Sabah akan keseriusan kerajaan GRS dalam tuntutan berkaitan MA63. “Perkara ini boleh menjadi bantu loncatan politik serta kelangsungan buat Maximus dan GRS jika berjaya diselesaikan dalam tempoh 100 hari. “Jika sebaliknya, maka terbukti bahawa kenyataan yang dibuat oleh beliau dahulu hanyalah retorik semata-mata untuk menagih populariti dan sokongan. Kerajaan GRS, terutama PBS dan STAR memberi gambaran bahawa hanya parti itu yang boleh memperjuangkan hak-hak rakyat terutama berkaitan isu MA63. "Apa yang PBS, STAR atau GRS telah capai? Tiada...rakyat kena "buyuk" saja," katanya. Pada 10 Disember 2019 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin dipetik sebagai berkata di Parlimen bahawa sebanyak 21 perkara telah dikemukakan kerajaan Sarawak dan Sabah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia, dan 17 daripadanya telah mendapat persetujuan bersama. Mohamed Hanipa berkata baki empat lagi perkara masih dibincangkan secara tiga penjuru antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak. Joel berkata: “Setakat yang saya tahu, Maximus hanya mengulangi beberapa persetujuan yang telah dicapai semasa kerajaan PH memerintah”. “Kerajaan GRS di Sabah juga tidak menunjukkan iltizam yang teguh untuk menuntut hak Sabah yang terkandung dalam MA63 dan lebih fokus kepada pengekalan kuasa politik serta menepis semak dan imbang pihak pembangkang akibat kelemahan pentadbiran mereka sendiri,” katanya. Beliau berkata, kenyataan PM untuk memberikan 100 hari kepada semua ahli kabinet untuk menunjukkan pencapaian awal dalam portfolio masing-masing menjadi perhatian rakyat khususnya rakyat Sabah dan kenyataan ini membuatkan rakyat Sabah menuntut kembali janji Maximus yang dibuat awal tahun lalu. Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Carlye Lajimin berkata, sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan terbaru mengenai isu MA63 sejak Maximus menjadi menteri hal-ehwal Sabah dan Sarawak. “Sejauh mana perkembangannya, tidak diketahui kerana tiada maklumat yang dikongsikan secara rasmi dari pejabat beliau mengenai hal ini. "Sebenarnya GRS bukan sahaja gagal tunai janji untuk memperjuangkan MA63 tetapi juga janji lain untuk selesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah... tiada langkah drastik diambil," katanya, Sementara itu, Maria Sham berkata, sekiranya beliau (Maximus) gagal lagi dalam tempoh 100 hari, ini membuktikan mereka tiada kesungguhan untuk menyelesaikan isu MA63. “Dalam kenyaatan beliau pada Mac tahun lepas, beliau berjanji akan menyelesaikan isu MA63 dalam tempoh enam bulan dan ia amat meyakinkan rakyat Sabah tetapi selepas lebih setahun, janji tinggal janji,” katanya sambil merayu kepada rakyat Sabah supaya menolak pemimpin yang hanya pandai berjanji. Maria berkata, rakyat kini bijak menilai para pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan akan membuat penilaian bijak pada Pilihan Raya Umum akan datang. Dalam kenyataan Maximus baru-baru ini beliau dipetik sebagai berkata, tanggungjawab yang diberikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) adalah penting dan strategik, terutama bagi meneruskan perjuangan memenuhi isu-isu berkaitan MA63 yang sering menjadi perbincangan hangat dikalangan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, dimana mereka berharap tuntutan MA63 dapat ditunaikan. Pada 13 Mac 2020, Maximus yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) bertekad menyelesaikan isu-isu berkaitan MA63 dalam tempoh enam bulan ini.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page