REMAJA DIKHUATIRI LEMAS KETIKA MENANGKAP UDANG
- nabalunews
- Feb 17
- 2 min read

17 Februari 2025
SANDAKAN: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika menangkap udang di perairan Tanjung Semawang, di sini, 2 hari yang lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Nor Aiman Arif itu dilaporkan keluar bersama beberapa rakannya kira-kira jam 5.30 pagi namun tidak pulang sehingga tengah hari.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, ahli keluarga yang bimbang dengan keadaan mangsa segera melakukan pencarian namun gagal menemuinya.

Katanya, pihak Maritim Malaysia menerima laporan daripada bapa kandungnya pada jam 5.54 petang selepas hanya menemukan vesel serta topi mangsa yang terapung di perairan berkenaan kira-kira 2.3 batu nautika timur laut Tanjung Semawang.
“Hasil laporan itu, Bot Banggi 43 terus digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesahkan maklumat.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pencarian awal sebelum operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 6.30 petang,” katanya dalam kenyataan media, 2 hari yang lalu.
Menurutnya, Operasi CARILAMAT hari kedua diteruskan pada pukul 7 pagi kemarin membabitkan pelbagai aset daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Selain itu katanya, operasi turut dibantu penduduk setempat menggunakan bot
persendirian.
“Sehingga kini, operasi pencarian sudah meliputi kawasan seluas 19 batu nautika persegi, namun mangsa masih belum ditemukan.
“Operasi dihentikan sementara pada jam 6.30 petang dan akan disambung semula pada jam 7 pagi esok,” katanya.
Sehubungan itu, Muhamad Suhairy mengingatkan komuniti nelayan dan penduduk setempat agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.
Katanya, penggunaan jaket keselamatan dan pemantauan cuaca sebelum turun ke laut amat digalakkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Sekiranya berlaku sebarang insiden di laut, orang ramai diminta melaporkan segera ke Bilik Operasi 24 Jam, Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau menerusi talian kecemasan Mers 999,” katanya.
Comentarios