Remaja hantar nesej berbaur ugutan ditahan
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 1 min read

7 Januari 2026
TAWAU: Polis berjaya menahan seorang remaja lelaki, 18, yang disyaki menghantar mesej berbaur ugutan terhadap seorang remaja lelaki lain, 15, di sini, semalam.
Suspek warga tempatan itu dikesan di Lorong Industri Megah 1 Jalan Tiku sebelum ditangkap polis susulan laporan dibuat mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata mangsa bertindak membuat laporan polis selepas dikatakan menerima pesanan berbaur ugutan daripada nombor yang tidak dikenali.
"Kejadian berlaku ketika mangsa berada di sebuah masjid di kawasan Ranggu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang turut merampas sebuah telefon bimbit dan simkad yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mengirim pesanan ringkas tersebut.
Jasmin berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.














