top of page

RM1.12 bilion diperuntukkan untuk projek sekolah daif di seluruh negara

  • nabalunews
  • Sep 2, 2024
  • 1 min read

2 September 2024


KLUANG: Sebanyak RM1.12 bilion telah diperuntukan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan 77 projek sekolah daif di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.


Peruntukan ini bertujuan memperbaiki keadaan sekolah-sekolah yang memerlukan pembinaan semula demi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan selamat.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM584.7 juta diperuntukkan untuk 31 projek yang sedang dilaksanakan pada tahun ini, manakala RM541.8 juta telah digunakan bagi 46 projek pada tahun lalu.


Sehingga kini, dua projek telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun lalu, dengan 32 projek lagi sedang dalam proses pembinaan, sementara projek-projek selebihnya berada dalam fasa reka bentuk dan perolehan.


"Hari ini, kita berada di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang, di mana kita dapat melihat sendiri salah satu projek pembinaan kantin bernilai RM2.2 juta yang sedang berjalan. Kantin lama telah dirobohkan, dan ini adalah salah satu contoh usaha kerajaan dalam melaksanakan projek sekolah daif," ujar Ahmad Maslan kepada pemberita selepas meninjau pembinaan semula bangunan daif di sekolah tersebut.


Tambahnya lagi, kemajuan fizikal projek di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu telah mencapai tiga peratus siap, termasuk pembinaan laluan keluar masuk yang telah dimulakan pada 18 Julai lalu. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada November tahun hadapan.


Projek pembinaan kantin baharu ini diharap akan memberi manfaat kepada lebih 400 warga sekolah, termasuk pelajar dan guru, serta meningkatkan keselesaan mereka dalam menjalankan aktiviti harian.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page