top of page
Wartawan Nabalu News

RM1.562 bilion cukai jualan hasil produk petroleum sejak April 2020



7 Disember 2021

Oleh Marryan Razan dan Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Sejumlah RM1.562 bilion hasil cukai jualan terkumpul ke atas produk petroleum sejak cukai itu berkuatkuasa pada April 2020.


Pembantu Menteri Kewangan Jasni Daya berkata, daripada jumlah itu RM177.88 juta adalah pada tahun 2020.


“Setakat 28 November 2021, kerajaan telah menerima bayaran cukai sebanyak RM1.385 bilion atau 98.9 peratus daripada anggaran disemak ke atas kutipan cukai ini,” katanya pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Phoong Jin Zhe (Luyang) yang bertanya berapakah anggaran secara terperinci kutipan hasil cukai jualan ke atas produk petroleum yang telah dilaksanakan sejak tahun 2020.


Enakmen cukai jualan produk petroleum ini diperkenalkan semasa kerajaan Warisan Plus di bawah Datuk Mohd Shafie Apdal.


Jasni berkata, cukai jualan negeri ke atas produk petroleum yang mula berkuatkuasa pada April 2020 dalah dikenakan ke atas Minyak Mentah Petroleum dan Gas Asli/ Gas Asli Cecair pada kadar 5 peratus bagi setiap produk tersebut.


“Anggaran asal kutipan cukai ini pada tahun ini (2021) adalah RM1.25 bilion. Ekoran kenaikan harga komoditi ini, anggaran tersebut telah disemak kepada RM1.4 bilion,” katanya.


Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, daripada cukai jualan hasil petroleum sebanyak RM1.562 bilion, RM444.5 juta adalah dari Petronas Cari Gali Sdn Bhd, RM429.9 juta (Petroleum Nasional Berhad Petronas), RM212.8 juta (Conoco Philips Sabah), RM210.7 juta (Sabah Shell petroleum Company Limited) dan RM76 juta dari PTTEP Sabah Oil Limited.


"Selebihnya Petronas Floating LNG 1 Limited sebanyak RM63.6 juta, Petronas Floating LNG 2 Limited (RM56.6 juta), Repsol Oil and Gas Limited (RM31.3 juta), PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi (RM28.9 juta), Conoco Philips Sabah Gas Limited (RM7.7 juta) dan E&P Malaysia Venture Sdn Bhd sebanyak RM0.46 juta.

“Inilah keseluruhan pungutan hasil bukan sahaja petroleum tetapi termasuk gas yang dipungut sehingga November tahun ini,” katanya.


Adun Senallang Datuk Shafie Abdal bertanya mengenai kutipan hasil petroleum yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada ia meliputi cukai ‘crude oil’ (minyak mentah) atau ‘by product’ (jualan produk) petroleum.


Bagaimanapun, apabila ditanya semula sama ada kutipan hasil petroleum tersebut termasuk kutipan cukai jualan produk petroleum Hajiji berkata data tersebut tidak ada bersamanya.


“Seingat saya Conoco semua itu merupakan syarikat-syarikat yang mengekstrak minyak mentah tapi yang saya tanya tadi ialah by product...hasil daripada jualan sama ada termasuk itu atau tidak.. bukan crude oil,” kata Shafie.


Hajiji berkata: “Mengenai perkara ini saya akan cuba semak semula kerana saya tidak ada data di sini”.


Cukai jualan sebanyak lima peratus terhadap semua produk petroleum di negeri ini diperkenalkan semasa kerajaan Warisan Plus di bawah pimpinan Shafie, pada April 2020.

Comments


bottom of page