RM1 bilion untuk usahawan bumiputera baru - PM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM1 bilion untuk usahawan bumiputera baru - PM

2 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


PUTRAJAYA: Dalam usaha memacu transformasi ekonomi bumiputera, Kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM1 bilion untuk melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi. 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha melahirkan usahawan bumiputera itu akan dipertanggungjawabkan oleh syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).


Dalam ucapan penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, Anwar menekankan keberhasilan syarikat-syarikat bumiputera seperti Aerodyne dalam perkhidmatan dron global, Les Copaque dan Animonsta dalam industri kreatif, serta usahawan muda seperti Khairul Aming yang memanfaatkan teknologi digital.


“Kita mampu mencipta lebih banyak syarikat usahawan bumiputera yang berjaya seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron.


“Kita juga harus berbangga dengan kejayaan Les Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif. Begitu juga dengan kejayaan ramai usahawan muda yang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti saudara Khairul Aming," katanya, lapor Bernama.


Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran RM100 juta, yang menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.


Jelas Anwar, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf itu dan prestasi inisiatif tersebut akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu.


Tambah beliau, sistem wakaf itu akan diteraju Majlis Amanah Raya (MARA) dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA selari dengan hasrat penubuhan agensi itu.


“Wakaf MARA MADANI akan memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat bumiputera dan memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan, keusahawanan dan pengangkutan yang semakin mencabar di alaf baru ini.


“Kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB (Amanah Saham Nasional Bhd) dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp,” kata beliau.


Bagi memanfaatkan tanah wakaf terbiar, Anwar berkata Belanjawan MADANI 2024 juga telah menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakan untuk membangunkan tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah mampu milik.

bottom of page