top of page

RM15.5 bilion aset berkait rasuah diperoleh semula dalam 3 tahun

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

3 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Sebanyak RM15.5 bilion berjaya diperoleh semula hasil tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa bagi tempoh 2023 hingga 2025.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil tindakan bersama diambil Pasukan Petugas Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) dalam pelbagai kes berkait rasuah termasuk melibatkan kes berprofil tinggi.


Menurutnya, jumlah wang dan aset yang berjaya diperoleh itu turut menyaksikan peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya.


“Sebagai contohnya, pada 2018, sebanyak RM37 juta wang dan aset diperoleh manakala tahun 2019 mencatatkan sebanyak RM1.2 bilion.


“Tetapi dari 2023 hingga 2025, dengan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi lain, ia sudah mencecah RM15.5 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai jumlah keseluruhan wang dan aset yang berjaya diperoleh semula SPRM sepanjang tahun 2025 dalam kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.


Jelasnya, pasukan MATF itu melibatkan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Bank Negara Malaysia (BNM).


Dalam pada itu, Anwar memaklumkan dalam tempoh November 2025 hingga Februari 2026, beberapa kes berprofil tinggi melibatkan rasuah dan salah guna kuasa juga telah diambil tindakan.


“Kes profil tinggi termasuk pertuduhan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pendakwaan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri pada Disember, empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pecah amanah pada Januari 2026.


“Terkini siasatan terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Pengarah Alam Sekitar. Ini menunjukkan kesungguhan kita lebih nyata setelah ditegaskan dalam tatakelola Kerajaan Madani,” ujarnya.


Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan mengambil pendekatan adil dan berasaskan proses dalam setiap siasatan.


Katanya, kerajaan juga terbuka terhadap cadangan untuk memperkemas mekanisme pemantauan dan kawalan terhadap agensi penguatkuasaan bagi memastikan integriti institusi terus diperkukuh.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page