top of page

RM150 juta SARA tidak dituntut diagih semula kepada golongan sasar

  • nabalunews
  • Feb 5
  • 1 min read

5 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali bayar 2025 berjumlah RM150 juta yang tidak dibelanjakan atau tidak dituntut sehingga 31 Disember lalu akan diagihkan semula untuk keperluan golongan sasar.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata bagi penghargaan SARA tahun lalu, sebanyak 96 peratus atau 21 juta daripada jumlah keseluruhan penerima direkodkan dengan nilai transaksi melebihi RM2.05 bilion.


Menurutnya, baki RM150 juta yang tidak dibelanjakan itu akan diagihkan kepada empat golongan tumpuan antaranya penghuni pusat perlindungan khususnya mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


"Kedua, kita akan agihkan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).


"Ketiga, pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan keempat, penubuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus sebanyak RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.


Amir Hamzah berkata, pengagihan semula dana tersebut bukan sahaja memastikan ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan awam, malah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.


Dalam pada itu, katanya, tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU, dan pesakit miskin mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan.


“Langkah ini juga membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa.


"Ia turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page