- Wartawan Nabalu News
RM76.3 juta untuk 502 projek kemudahan rakyat
24 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Sebanyak 502 projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang melibatkan kos RM76.3 juta telah mendapat persetujuan Kementerian Ekonomi untuk dilaksanakan di seluruh negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, projek-projek tersebut adalah sebahagian daripada 1,500 projek yang telah diluluskan secara prinsip oleh kementerian sejak pelancaran IKR pada 20 Jun hingga 22 November lalu.
Beliau berkata, projek-projek IKR yang bertujuan mempercepat dan memudahkan pelaksanaan projek-projek kecil untuk kemudahan rakyat, akan dilaksanakan oleh pelbagai agensi pelaksana seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak pembangunan koridor dan perbadanan kemajuan ekonomi negeri.
"Setakat ini, sebanyak RM57.2 juta disalurkan bagi pelaksanaan projek terbabit di seluruh negara dengan Sabah meraih peruntukan tertinggi sebanyak RM21.6 juta, diikuti oleh Perak RM7.2 juta, Pahang RM6.5 juta, Sarawak RM5.8 juta dan Selangor RM5.3 juta.
"Sebanyak RM2.2 juta disalurkan kepada Kedah; Negeri Sembilan RM2 juta; Johor RM1.96 juta; Melaka RM1.1 juta; Terengganu RM1 juta; Kelantan RM750,000; Perlis RM670,000; Wilayah Persekutuan RM556,000 dan Pulau Pinang RM400,000," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai jumlah perbelanjaan bagi IKR pada 2023 serta butiran perbelanjaan di peringkat negeri.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, permohonan projek yang diterima melalui aplikasi IKR perlu disemak dan disahkan oleh agensi pelaksana yang perlu melaksanakan siasatan tapak bagi menentukan kebolehlaksanaan projek dan kos projek serta memberikan maklum balas kepada Kementerian Ekonomi untuk penyaluran peruntukan.
"Kementerian turut melakukan tindakan susulan dengan pelbagai agensi pelaksana yang dilantik bagi mendapatkan maklum balas terkini pelaksanaan baki projek IKR berkenaan," katanya.
Comments