top of page

RMK13 beri lebih ruang perkasa gerakan koperasi - Ewon

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

20 Jun 2025


PUTRAJAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dimuktamadkan minggu depan dijangka memberi lebih ruang dan peluang kepada gerakan koperasi untuk berkembang dan terus menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kementeriannya telah mengemukakan beberapa cadangan agenda serta inisiatif khusus untuk sektor koperasi bagi tempoh lima tahun perancangan RMK13, merangkumi 2026 hingga 2030.


"Saya yakin ini akan menjadi sebahagian daripada agenda RMK13 negara yang bakal dimuktamadkan oleh Kabinet minggu depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Koperasi Kebangsaan 2025 (BKK 2025), di sini semalam.


Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.


Mengenai agenda utama RMK13 dalam membangunkan sektor koperasi dengan lebih baik, Ewon berkata, kementeriannya diberi sasaran untuk menjana hasil perolehan gerakan koperasi dengan nilai RM100 bilion.


"Pada taklimat awal Jemaah Menteri, kita telah dimaklumkan mengenai satu agenda besar dalam RMK13 untuk membangunkan koperasi dengan lebih baik.


"Mudah-mudahan gerakan koperasi bukan hanya dapat menjana perolehan yang kita sasarkan ini, tetapi juga dapat meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.


Semalam, jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi, memaklumkan RMK13 di bawah Kerajaan MADANI dijangka dibentangkan di Parlimen pada 28 Julai ini.

Mengenai prestasi sektor koperasi setakat ini, Ewon berkata, nilai perolehan koperasi pada 2024 mencecah RM68.18 bilion, melebihi sasaran Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM).


"Sasaran kita menjelang 2030 adalah RM100 bilion, namun saya cabar gerakan koperasi untuk tidak hanya dinilai berdasarkan jumlah perolehan, sebaliknya memberi tumpuan kepada sumbangan mereka kepada KDNK," katanya.


Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, lebih 1,000 koperasi baharu didaftarkan setiap tahun, menunjukkan sambutan positif dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap gerakan itu.


Ewon menyifatkan peningkatan itu hasil usaha pelbagai pihak, termasuk Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta kerjasama ANGKASA dalam mempromosi koperasi sebagai gaya hidup rakyat Malaysia.


Beliau turut memaklumkan, majlis penutupan Sambutan Hari Koperasi Negara akan diadakan pada 27 Julai ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page