top of page
nabalunews

Rowindy mahu ahli parti mengambil peluang yang ada di KUSKOP menjadi usahawan berjaya

12 Ogos 2024


PENAMPANG: Timbalan Setiausaha Penganjur Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia, Rowindy Lawrence menggesa ahli-ahli parti agar bijak mengambil peluang yang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diterajui Presiden parti, Datuk Ewon Benedick.


Rowindy yang juga Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa UPKO berkata KUSKOP banyak menawarkan skim-skim pembiayaan dan geran untuk membantu usahawan di seluruh negara.

Rowindy sedang membentang

"Maka ambillah peluang ini,“ katanya.


Rowindy adalah seorang daripada pembentang wanita pada Konvensyen Nasional UPKO UPKO 2024 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Sabah di sini, semalam.


Semasa pembentangannya, Rowindy yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional turut berkongsi kisah kejayaan atau “success story” usahawan-usahawan TEKUN di Sabah.

Rowindy mengiringi Datuk Ewon melawat ke setiap reruai dan gerai pameran bagi pelancaran produk-produk usahawan.

Katanya, usahawan-usahawan TEKUN itu mencapai kejayaan kerana mereka gigih dan fokus kepada produk yang diusahakan.


Sehubungan itu beliau meminta ahli-ahli parti termasuk Wanita UPKO untuk menjadikan kisah kejayaan usahawan-usahawan TEKUN ini sebagai inspirasi untuk terus memajukan diri dalam bidang keusahawanan dengan mengambil peluang daripada pelbagai skim pembiayaan dan geran ditawarkan KUSKOP dan pelbagai agensi dibawahnya.


"Ambil peluang yang ada. Lengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran. Jangan takut dan mudah berputus asa apabila kita atau perniagaan yang diusahakan diuji dengan cabaran. Belajarlah daripada kegagalan yang pernah dialami.


“Fokus pada produk anda! Fokus untuk menjadi usahawan berjaya! Jika usahawan-usahawan yang dikongsikan tadi itu boleh berjaya, kenapa ahli parti kita juga tidak boleh mencapai kejayaan sedemikian?," katanya.


Rowindy turut mengingatkan ahli-ahli parti agar tidak lupa menunaikan tanggungjawab untuk membantu masyarakat di luar sana apabila mereka sudah mencapai kejayaan sebagai usahawan, kelak.


“Apabila anda sudah berjaya, bantu anak-anak muda, beri mereka peluang pekerjaan, jika ada lebihan rezeki, buatlah kebajikan, lakukan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ini berkat untuk anda, jangan sesekali malas dan jangan menunggu duit jatuh," tegasnya.


Ketika waktu rehat konvensyen UPKO, Rowindy turut mengiringi Datuk Ewon melawat ke setiap reruai dan gerai pameran bagi pelancaran produk-produk usahawan.


Antara produk yang dilancarkan ialah Hairdo Hair Studio yang diusahakan Dg Nor Athirah Fatin, Nuvis In Wheelz diusahakan Nashriq Affiudeen, DS Empire Barbershop and Salon (Pengusaha : Muhammad Salman Md Mahrun), Yani Enterprise - Arty & Co (Pengusaha : Masranie Arsat). Lena' Home Remedies (Pengusaha : Lena Gitom), Viviana Craft (Pengusaha : Carmelita Santos), Kordial Nenas MD2 (Pengusaha : Josephine Boyong), Kebun Kita (Bibianah Azianah), Aurora Mutiara Enterprise (Pengusaha : Juddy Lasius), EVY'S Beaute Enterprise

(Diusahakan Evy Nonita Anggus) dan Nur Inspirations Enterprises yang diusahakan Nur Hidaya Suci Abdullah.

Comments


bottom of page